Minggu, 20 Juni 2010

UNSUR EROTIS DALAM NOVEL DI MALAYSIA DAN INDONESIA: SATU ANALISIS STILISTIK

ABSTRAK


Kajian stilistik ini bertujuan untuk mengenal pasti bentuk, makna dan kesan erotis yang terdapat dalam novel Sutan Baginda karya Shahnon Ahmad (Malaysia) dengan novel Ronggeng Dukuh Paruk oleh Ahmad Tohari (Indonesia). Bagi mencapai tujuan tersebut, pengkaji mengumpulkan leksikal erotis berdasarkan hubungan makna berkait dengan fitur-fitur tertentu, seperti pertanian, kelautan, fizikal, perbuatan, sifat, tempat dan waktu. Kerangka teori yang digunakan adalah model stilistik oleh Leech dan Short (1993), yang cenderung menumpukan perhatian kepada ciri linguistik, estetika dan gaya melalui deskripsi, interpretasi dan kesan kategori leksikal erotis. Analisis data kajian ini menunjukkan kewujudan perbezaan pengungkapan unsur erotis yang disebabkan oleh kreativiti kedua-dua pengarang memilih leksikal erotis dan leksikal yang mengandungi unsur erotis berdasarkan makna literal dan nonliteral. Hasil analisis membuktikan bahawa novel serius yang dihasilkan oleh kedua-dua pengarang menepati ciri-ciri erotis, disebabkan oleh pengungkapan seksualiti yang terselubung dengan bahasa kiasan, struktur penyampaian hanya pada tahap pengantar, bersifat tempelan dan tidak bertujuan untuk membangkitkan nafsu syahwat. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Shahnon lebih kreatif dalam mengungkapkan unsur erotis kerana memanfaatkan tujuh kumpulan leksikal, iaitu pertanian, kelautan, fizikal, perbuatan, sifat, tempat dan waktu berbanding dengan Ahmad Tohari yang hanya memanfaatkan dua kumpulan leksikal, iaitu fizikal dan perbuatan.

Tidak ada komentar: