Kamis, 17 Juni 2010

Bahasa Malaysia di Persada Dunia: Satu Analisis Sosiolinguistik


1.0 PENGENALAN

Mempelajari bahasa merupakan suatu misteri yang sangat unik. Keunikan ini dapat ditelusuri melalui asal muasal bahasa, pelbagai macam bahasa dan dialek suatu bahasa. Bahasa juga berhubungkait dengan suatu tempat di mana dituturkannya sehingga bahasa tidak dapat dipisahkan daripada orang yang menuturkannya. Sungguhpun pengwujudan pertuturan itu adalah hasil kegiatan seseorang sebagai individu, tetapi bahasa tidak dapat wujud dalam sesebuah masyarakat jika tidak digunakan oleh sekumpulan individu dalam hubungan mereka satu sama lain. Ertinya bahasa boleh disebut sebagai hasil kesepakatan bersama dalam suatu masyarakat. Sesuai dengan pendapat Asmah Haji Omar (1993) yang menyatakan bahawa bahasa adalah hak milik bersama sekumpulan individu, bukan kepunyaan satu-satu individu tertentu.

Bahasa adalah jiwa bangsa. Pepatah Raja Ali Haji tersebut menyiratkan bahawa bahasa menunjukkan bangsa. Dalam hal ini bahasa tidak dapat dipisahkan daripada penuturnya. Bahasa Melayu merupakan jiwa bangsa Melayu, begitu juga bahasa Cina dan India merupakan jiwa masing-masing. Bahasa Malaysia harusnya menunjukkan jiwa Malaysia bagi warganegara Malaysia. Warno Katiman (2002) menghuraikan bahawa bahasa Malaysia telah dimateraikan dalam dokumen rasmi Karajaan Malaysia melalui perlembagaan dan undang-undang yang telah diwartakan untuk digunakan oleh semua pihak sejak dari tarikh ianya dikuatkuasakan. Kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan Persekutuan perkara 152 adalah “…Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang oleh Parliment.” Oleh itu, kedudukan, kedaulatan dan martabat bahasa Malaysia di negaranya sangat tinggi, sehingga bahasa Malaysia boleh terjana di persada dunia.

2.0 ISI

Sebelum berbicara tentang pengantarabangsaan bahasa Malaysia di persada dunia, ada baiknya ditelusuri terlebih dahulu tentang proses mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Malaysia.

2.1 Pendaulatan dan Pemartabatan Bahasa Malaysia

Warna Katiman (2002) menyatakan bahawa sejarah membuktikan bahawa pejuang bahasa telah berusaha untuk mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Malaysia. Berbagai-bagai akta dan dasar telah ditubuhkan, seperti Akta Pelajaran 1961, Akta Bahasa Kebangsaan 1963, Akta Bahasa Kebangsaan 1967 serta Penyata Razak dan Laporan Jawatankuasa Kabinet mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1982). Berasaskan berbagai-bagai akta dan Dasar Pendidikan Kebangsaan Malaysia tersebut, kedudukan dan martabat bahasa Malaysia telah diletakkan di darjah yang tinggi, perkara ini selari dengan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.

Abdul Ghani Awang (1997) menghuraikan bahawa Akta Pendidikan 1961 yang memberikan fokus utama mengembangkan pendidikan melalui bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan menggantikan bahasa Inggeris telah berjaya. Mazlan A Aziz (2008) menyatakan bahawa Akta 1961 mampu memainkan peranannya untuk mencapai matlamat dan falsafah dasar pendidikan Malaysia selama 3.5 dekad. Tambah beliau lagi, kejayaan demi kejayaan telah dicapai sehingga Malaysia diakui sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu dengan menggunakan dan menempatkan bahasa Melayu.

Nik Safiah Karim (1984) menyatakan bahawa pencapaian taraf keintelektualan bahasa Melayu akan menjadi lebih nyata apabila bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmiah. Seiring berjalannya waktu, perubahan tercipta. Pasang surut bahasa Melayu sebagai air yang memenuhi keperluan masyarakat Malaysia, turut tercipta. Pengaruh kemodenan dan keegoan terhadap bahasa ibunda membuat perpecahan terhadap kesatuan negara yang telah utuh. Pengaruh-pengaruh buruk itu semakin hari semakin menghakis darjah bahasa Malaysia sebagai bahasa tertinggi di Malaysia.

2.2 Penghakisan Darjah Bahasa Malaysia

Langit tak selamanya cerah, mendung pastikan menjelma. Penggalan lirik lagu tersebut memberi pengajaran bahawa kehidupan tidak selalunya berjalan sesuai dengan apa yang diharapkan. Begitu juga dengan perkembangan bahasa kebangsaan Malaysia. Pengaruh globalisasi dan modenisasi telah meretakkan kesatuan masyarakat Malaysia. Kepentingan ekonomi yang kukuh telah meminggirkan bahasa kebangsaan Malaysia, sehingga bahasa yang telah mencapai bahasa moden tersebut diturunkan nilai ekonominya.

PPSMI wujud diakhir tampuk pemerintahan Tun Sri Dr. Mahatdir Muhmammd. Kewujudan ini membuat anak-anak Melayu berada dalam keadaan resah apabila Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris. Bahasa Malaysia dipiinggirkan oleh orang-orang berpendidikan yang seharusnya mempertahankan jati diri sebagai orang Malayu.

Y.A.B. Menteri Besar Johor di Konvensyen UMNO Johor 2006 berucap bahawa proses menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan terhenti, sebaliknya akan menjadi bahasa pasar sahaja. Usaha-usaha mencipta istilah baru mengikut keperluan semasa terjejas. Kerja pakar-pakar dalam bidang-bidang tertentu mencipta istilah yang sudahpun mencecah satu juta istilah dalam ratusan bidang ilmu termasuk yang terkini iaitu aeroangkamanakala hanya sia-sia. Syarikat swasta kini memerlukan Mandarin, maka Bahasa Melayu akan jadi nombor tiga selepas Bahasa Inggeris dan Mandarin dalam bidang perniagaan

Andariel (2010) menyatakan bahawa pendedahan yang meluas terhadap bahasa Inggeris telah mengakibatkan masyarakat membentuk suatu pemikiran yang myopik. Bahasa Inggeris dengan segera dikaitkan dengan kemodenan. Bahasa Inggeris disatukan dengan pembangunan. Bahasa Inggeris dilihat sebagai sesuatu yang mampu memerdekakan pemikiran. Bahasa Inggeris digunakan semata-mata kerana bahasa itu ialah bahasa pertuturan seharian mereka. Itu sebahagian daripada ciri-ciri yang membentuk jati diri mereka.

Selain itu, sikap ego masyarakat Melayu, Cina dan India telah memecahkan keutuhan bahasa Malaysia tersebut. Orang Melayu menganggap bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan Malaysia adalah milik peribadinya, sehingga bahasa Malaysia bukan milik orang Cina mahupun orang India. Bagi orang Cina dan India, bahasa Malaysia bukan miliknya sehingga kehadirannya dianggap tidak perlu dilestarikan dan dijaga keharmonisannya. Ketiga-tiga kaum ini telah mengambil jalan tengah untuk memanfaatkan bahasa Inggeris yang terkesan global dan moden untuk berkomunikasi.

Keegoan ketiga-tiga kaum terbesar di Malaysia, iaitu Melayu, Cina dan India dalam komunikasi mengancam kestabilan martabat bahasa kebangsaan Malaysia. Selain itu, wujudnya akta Pendidikan tahun 1996, membuat kedaulatan bahasa Malaysia kian terhakis. Pelajar-pelajar dituntut belajar dalam bahasa Inggeris untuk melanjutkan pengembaraan ilmu di institusi pengajian tinggi. Pengaruh globalisasi dan modenisasi untuk negara yang sedang membangun seperti Malaysia tidak dapat dielak. Tidak boleh dinafikan penggunaan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan masyarakat negara luar. Oleh itu, peningkatan kemampuan berbahasa Inggeris harus ditingkat di kalangan masyarakat Malaysia amnya dan pelajar khususnya. Peninggkatan penguasaan bahasa Inggeris tidak harusnya mengetepikan kepentingan bahasa kebangsaan, supaya tetap terpelihara nafas segar bahasa Malaysia.

2.3 Nafas Baru Bahasa Malaysia

Andariel (2010) merumuskan bahawa peningkatan terhadap pengusaan bahasa Inggeris menggambarkan sikap masyarakat Melayu yang semakin galak mengikut arus perubahan setempat dan sejagat yang terus menempatkan bahasa Inggeris pada aras yang tinggi. Jika dilihat dari sudut itu, memang sah peningkatan itu terasa seperti perubahan yang positif. Penekanan yang diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan terhadap penguasaan bahasa Inggeris yang baik memang tidak boleh dipandang remeh. Bahasa Inggeris sebagai wadah universal yang membolehkan kebanyakan urusan dijalankan dengan licin seakan memaksa setiap lapisan masyarakat menguasai bahasa itu.

Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, (2006) menyatakan bahawa kita tidak boleh menafikan kepentingan bahasa asing terutamanya dalam bidang ilmu dan disiplin lainnya, kerana tanpa penguasaan bahasa asing kita akan miskin ilmu namun semua itu perlu ada garis panduannya. Kita boleh menguasai seberapa banyak bahasa asing namun jangan sampai ia mengikis atau menyekat penggunaan bahasa Melayu selaku bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu sejak sekian lama. Peranan bahasa Melayu dalam pembinaan bangsa Malaysia adalah amat besar sekali dan ramai para ilmuan, tenaga profesional, pendidik serta penyelidik menggunakan bahasa itu sebagai perantara ilmu.

Penggunaannya yang meluas termasuk dalam bidang penerbitan buku membuktikan bahawa bahasa Melayu amat relevan dalam perkembangan ilmu di negara ini. Hasan Ahmad (2002) menyatkan bahawa “masyarakat Malaysia patut menyedari bahawa penulisan dan penerbitan berbahasa Melayu bukanlah bidang baru di dunia berbahasa Melayu di rantau ini.” Jangan diremehkan soal bahasa ini kerana ia berkait dengan budaya, identiti, jati diri dan tamadun bangsa bangsa Malaysia. Masyarakat harus ada rasa tanggungjawab terhadap usaha memelihara, membina, mengembang dan memajukan bahasa Melayu, sekaligus mendaulatkannya sebagai bahasa pentadbiran negara, bahasa utama di tempat awam serta bahasa yang menjadi citra bangsa kita

Maruah dan masa depan jati diri Melayu perlu dipertahankan untuk menunjukkan keperkasaan bahasa Malaysia di persada dunia. Tanggungjawab warganegara Malaysia adalah memperkasa jati diri yang telah dipupuk sejak merdeka serta mempertahankan kerelevanannya. Oleh itu, warganegara dan pejuang bahasa Melayu perlu bersatu padu untuk mendaulatkan dan memartabatkan kembali bahasa Malaysia. Gandingan tangan dan tenaga kaum Melayu, Cina dan India untuk mengantarabangsakan bahasa Malaysia. Perjuang ini memerlukan komitmen setiap pihak yang prihatin dan berkepentingan, iaitu daripada individu mahu pun kumpulan dalam kalangan pelajar, pendidik, ahli akademik, pentadbiran, swasta, ahli politik, warga negara asing yang menetap di Malaysia dan sesiapa sahaja yang mencintai bahasa Malaysia.

2.4 Pengantarabansaan Bahasa Malaysia di Persada Dunia

Teo Kok Seong (2010) hasrat untuk mengantarabangsakan Bahasa Malaysia pada kadar yang lebih giat dan luas lagi, sudah tentu tindakan positif dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia. Hasrat tersebut perlu diimbangi secara konsisten dengan perkembangan dalam negara yang kondusif, sesuai dengan martabat, maruah dan imej Bahasa Melayu selaku bahasa negara, yakni sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kecintaan masyarakat Malaysia pada bahasa kebangsaan, mampu memperkokoh kewibawaan bahasa Malaysia di persada dunia. Beberapa usaha telah dilakukan untuk mengantarabangsakan bahasa Malaysia. Mazlan A Aziz (2008) menyatakan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak (1998) telah membuat pengumuman bahawa kursus Pengajian Malaysia yang diwajibkan di semua universiti swasta di negara ini akan dikendalikan dalam bahasa Melayu, selaras dengan usaha mengangkat martabat bahasa itu.

Mengantarabangsakan bahasa Malaysia tidaklah semudah membalik telapak tangan. Memang bahasa Melayu Nusantara mampu menjadi lingua franca, pada satu ketika. Tetapi kejayaan itu sukar di pertahanka di saat ini. Semua pihak harus bersatu padu untuk mengangkat martabat dan mematri jati diri 1Malaysia pada saat ini. Masyarakat luar dan dalam Malaysia sendiri wajib bersatu padu mempertahankan jati diri tersebut. Pelbagai usaha telah dijalankan. Juriah Long (1996) menyatakan bahawa ahli profesional dan teknokrat dari luar negara yang bertugas di Malaysia perlu berkomunikasi dalam bahasa Malaysia dengan pekerja mereka. Oleh itu, mereka perlu juga mempelajari bahasa Malaysia sebagai bahasa asing.

Muhammad Khalid Nordin (2010) menghuraikan bahawa penguasaan bahasa Malaysia di kalangan rumpun Melayu saja tidak akan memberi kekuatan kepada bahasa Malaysia menjadi satu bahasa antarabangsa. Selain itu, Mazlan A Aziz (2008) menyatakan bahawa:

Pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing sebenarnya telah lama dijalankan di institusi pengajian tinggi di negara ini. Menurut Azhar Ab. Wahab dan Noor Ida Ramli (1997), Jabatan Pengajian Melayu Institut Teknologi Mara mula memperkenalkan kursus bahasa Melayu sejak tahun 1972 lagi kepada pelajar Kajian Sebaran Am dan kursus-kursus diploma yang lain. Malah kursus bahasa Melayu bagi sekumpulan 25 orang jurutera syarikat Esso Production Malaysia Inc., Kerteh Terengganu telah dijalankan oleh ITM cawangan Pahang. Begitu juga halnya dengan pengalaman Universiti Kebangsaan Malaysia (Abu Bakar Hj. Ibrahim dan Asma Yussof 1994) dan Universiti Sains Malaysia (Mashudi Kader 1996). Keadaan ini menunjukkan kemampuan dan keperluan bahasa Melayu sebagai bahasa pemelajaran dan juga bahasa keilmiahan khususnya di IPT tempatan.

Perkara ini membuktikan bahawa bahasa Malaysia berpeluang untuk diantarabangsakan. Pelbagai usaha dilakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia. Abdullah Ayob (1998) menghuraikan bahawa pelajar tempatan perlu mempertahankan martabat bahasa kebangsaan kerana kedudukan bahasa kebangsaan sekarang ini berhadapan dengan beberapa banyak tekanan berikutan banyak institusi pengajian tinggi swasta yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin (1994) menegaskan bahawa beberapa langkah telah diambil untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua mata pelajaran. Sektor-sektor penting negara, misalnya pentadbiran dan pendidikan mulai meragui peranan bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia mesti menjadi bahasa pengantar di semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta, kerana di institusi pengajian tinggi ini disertai oleh pelajar dari dalam negara dan luar negara. Awang Sariyan (1995) menyarankan supaya bahasa Melayu diwajibkan di kalangan anak-anak warganegara asing yang belajar di sekolah-sekolah antarabangsa.

3.0 PENUTUP

Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan Malaysia semakin hari semakin terpinggir hingga menjejaskan pelestarian jati diri Malaysia yang berteraskan masyarakat, budaya dan bahasa Melayu. Perkara ini terlihat ekoran peranan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi utama dalam urusan rasmi dan tidak rasmi di Malaysia tercabar oleh arus globalisasi. Globalisasi dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) ditakrifkan sebagai proses yang membolehkan sesuatu aktiviti ekonomi, kebudayaan, pendidikan, industri, dan lain-lain disebarkan atau diperluas ke peringkat antarabangsa atau ke seluruh dunia, terutamanya dengan adanya kemudahan sistem komunikasi dasar terbuka.

Keraguan kedua-dua sektor penting Malaysia boleh merosakkan kemurnian bahasa Malaysia akibat campur aduk bahasa dalam komunikasi, seperti campur aduk dengan dialek-dialek negeri, campur kode dengan bahasa Inggeris, alih kode dengan bahasa Cina, India dan bahasa asing lainnya. Selain itu, penurunan nilai ekonomi bahasa Malaysia dalam bidang sains dan teknologi digantikan dengan bahasa Inggeris. Kerajaan dan masyrakat 1malaysia tidak harus membelakangkan penggunaan bahasa Melayu kerana usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa dan untuk menjayakan matlamat Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan akan gagal.

Usaha mencanangkan bahasa Malaysia di kenal di persada dunia, maka bahasa pengantar untuk pendidikan mesti menggunakan bahasa Malaysia. Penguasaan bahasa Inggeris perlu ditingkatkan untuk bersaing dengan masyrakat dunia lainnya. Kaum Cina, India dan kaum-kaum lainnya yang berwarganegara Malaysia harus menomorsatukan bahasa Malaysia untuk berkomunikasi, kerana bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi. Selain itu, masyarakat asing yang belajar di Malaysia wajib mempelajari bahasa Malaysia sebagai bahasa asing. Mahasiswa yang berasal dari nusantara yang mengerti akan bahasa Melayu, mesti belajar dengan menggunakan bahasa pengantar bahasa Malaysia. Jika tidak, cita-cita untuk mengantarabangsakan bahasa Malaysia hanya akan tinggal impian semata-mata. Inilah saat yang sesuai untuk memperkenalkan bahasa Malaysia di persada dunia. Masyarakat Malaysia harus bersikap positif untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa yang dihormati oleh warga dunia dengan mendaulatkan bahasa Malaysia di dalam dan di luar negara.

BIBLIOGRAFI

Abdul Ghani Awang 1997. “Kewibawaan Bahasa Kebangsaan Berterusan dalam Akta Pendidikan 1996” dlm. Jurnal Dewan Bahasa. 41: 2 Feb. hlm. 175-179.

Abu Bakar Hj. Ibrahim dan Asma Yussof 1994. “Satu Model Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Asing.” Kertas kerja Seminar Kebangsaan Fortram 94. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Asmah Haji Omar. 1993. Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan 1995. “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu melalui Institusi Pengajian Tinggi: Pengalaman UIAM.” Kertas kerja Kongres Bahasa Melayu Sedunia. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 21-25 Ogos.

Azhar Ab. Wahab dan Noor Ida Ramli 1996. “Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Asing: Pengalaman Jabatan Bahasa Melayu, ITM.” Kertas kerja Seminar Pengajaran Bahasa Melayu di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 14-15 November.

Dewan Bahasa dan Pustaka. 2007. Kamus Dewan. Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hasan Ahmad. 2002. Bahasa Melayu sebagai Penjana Tamadun Ilmu di Rantau Berbahasa Melayu pada Abad ke-21. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Juriah Long 1996. “Pendidikan bahasa kebangsaan dan bahasa antarabangsa dalam era industrialisasi dan globalisasi.” Prosiding Pendidikan Negara Abad ke-21. hlm. 316-329.

Mashudi Kader 1996. “Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu kepada Pelajar-pelajar Ijazah Tinggi dari Luar Negara di Universiti Sains Malaysia.” Kertas kerja Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing, BSFU, DBP, GAPENA dan PPMC. 20-24 Mei.

Mazlan A. Aziz. 2008. Pemartabatan Bahasa Melayu. Kauala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Khalid Nordin. 2010. Bahasa Melayu Boleh Diantarabangsakan.Berita Harian. 8 Mac: BM

Teo Kok Seong. 2010. Pengantarabangsaan Bahasa Melayu perlu Imbangan dalam negara. Tulisan Ilmiah Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Instut Alam dan tamadun Melayu (ATMA): Universiti Kebangsaan Malaysia.

Teo Kok Seong. 2010. Iktibar Orang Asing Petah Berbahasa Melayu. Utusan Malaysia, 9 Mac: BM

Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin 1994. Wawasan Pendidikan: Agenda Pengisian, Kuala Lumpur: Cahaya Pantai Publishing Sdn. Bhd.

Warno Katiman. 2002. Dasar dan Pelaksanaan Bahasa Melayu di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index2.php?optio

www.andrial.umt.edu.my/sabm/2008

Tidak ada komentar: