Minggu, 20 Juni 2010

Kenapa Satra Malaysia dan Indonesia Berbeda?

Malaysia dan Indonesia merupakan negara berjiran yang sebahagian besar warganya sama-sama berbangsa Melayu. Oleh itu, wajar kalau karya sastera kedua-dua negara mempunyai beberapa persamaan. Suripan Sadi Hutomo (dlm. B, Trisman et.al. 2003) menyatakan bahawa sastera Malaysia dan Indonesia masih bersaudara kandung sebab kedua-duanya sama-sama berasal daripada ibu bahasa Melayu yang merupakan lingua franca di kawasan Asia Tenggara. Selain itu, Fatimah Busu (1992) menyatakan bahawa Malaysia dan Indonesia hampir-hampir tidak mempunyai perbezaan langsung daripada segi sejarah, ilmu alam, politik dan kesusasteraan, seolah-olah dapat disatukan kedua-duanya. Seiring berjalannya waktu, perbezaan mulai tercipta. Pengaruh percampuran budaya luar yang mengganggu stabiliti negara Malaysia dan Indonesia mencipta perbezaan dalam karya sastera Malaysia dan Indonesia. Malaysia dan Indonesia pernah dijajah kuasa Eropah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris. Menurut hujah Sahlan (2002) ketiga-tiga negara penjajah tersebut membahagi wilayah melalui sistem pecah-perintah sehingga terjadi jurang budaya di kalangan orang Melayu wilayah Nusantara.

Suripan Sadi Hutomo (2003) menghuraikan bahawa kebijakan pemerintah Belanda di Indonesia dan Inggeris di Malaysia, menyebabkan kesusasteraan di kedua-dua negara tergeser ke arah yang berbeza. Pengaruh kuasa penjajahan tersebut, di samping kreativiti pengarang, menimbulkan pelbagai perbezaan dalam karya sastera negara serantau ini. Jakob Sumarjo (1982) menyatakan bahawa novel Indonesia sejak tahun 1970-an menggambarkan manusia Indonesia yang gelisah, sama ada berupa kegelisahan sosial, kegelisahan jiwa mahupun kegelisahan rumah tangga. Dikatakannya bahawa sesungguhnya sumber kegelisahan ini adalah situasi budaya Indonesia yang belum stabil betul. Bangsa ini sedang menyusun semula kebudayaannya di tengah arus budaya luar yang terus-menerus menyerap masuk.

Husnul Fikri (2008) menyatakan bahawa perubahan daripada masyarakat tradisional menuju masyarakat moden, seperti yang dialami masyarakat Malaysia dan Indonesia, akan menyebabkan perubahan dalam pelbagai-bagai aspek kehidupan masyarakat, termasuk nilai-nilai, norma-norma, sikap mental, dan sebagainya. Dalam proses perubahan ini tentu menjadi perhatian novelis sehingga sedikit sebanyak akan tercermin di dalam karya sastera mereka, antaranya dalam bentuk konflik yang dialami oleh para watak dalam novel. Masyarakat tradisional mengutamakan kerjasama dan kepatuhan kepada nilai-nilai dan norma-norma masyarakat daripada melahirkan perubahan dalam masyarakat dan kebudayaan mereka. Mohd. Zariat Abdul Rani (2008) menghuraikan bahawa sebahagian besar perubahan berlaku terhadap fahaman dan amalan seksualiti dalam karya sastera Melayu Malaysia.

Pengungkapan unsur erotis oleh pengarang yang menjadi fokus kajian ini juga bertolak daripada keterikatan manusia dengan nafsu berahi. Pemahaman ini turut menyerlahkan fungsi akal dalam mengawal naluri kejantinaan manusia. Sejajar dengan itu, cerita khususnya manifestasi dan peristiwa erotis yang menjadi bumbu cerita itu dimantapkan lagi dengan manipulasi unsur bahasa. Bahasa dimanfaatkan untuk mencetus, menarik serta mengekalkan minat terhadap cerita melalui cara garapannya yang berdikit-dikit. Pendedahan yang berdikit-dikit itu dapat menimbulkan suspen kemungkinan-kemungkinan erotis dan meningkatkan intensiti cerita sepanjang perjalanan ke kemuncak apabila babak-babak erotis itu diserlahkan dengan sepenuhnya.

Mohd. Zariat Abdul Rani (2008) menyatakan bahawa intensiti terhadap seks dalam novel turut ditinggalkan melalui manipulasi bahasa. Aspek-aspek bahasa seperti simile, metafora dan simbol sering digunakan untuk mengaburkan unsur erotis. Unsur kiasan dimanfaatkan dengan berkesan melalui cara huraian serta konteks cerita yang mengukuhkan unsur-unsur erotis yang membumbui cerita. Leksikal-leksikal tertentu menjadi acuan untuk menentukan seberapa pentingnya kehadiran unsur erotis tersebut. Kekerapan pengarang menggunakan leksikal tertentu sangat menentukan darjah keerotisan sesebuah novel.

Tidak ada komentar: