Minggu, 20 Juni 2010

Metode Kajian Unsur Erotis dalam Novel Berdasarkan Tinjauan Stilistik

Prosedur analisis dilakukan melalui tiga aspek penting dalam stilistik, iaitu deskripsi, interpretasi dan kesan. Deskripsi adalah memaparkan maklumat linguistik sesuatu data yang didapati daripada beberapa peristiwa erotis yang terdapat dalam novel Malaysia dan Indonesia. Data yang telah dideskripsikan akan diberi interpretasi sehingga diperolehi gambaran yang penuh mengenai perkembangan unsur erotis dalam novel yang dijadikan objek kajian. Setelah data tersebut diinterpretasi, maka akan dilihat kesan daripada penggunaan, kekerapan, pengulangan dan kesejajaran data yang berunsur erotis tersebut terhadap pembaca mahupun terhadap novel itu sendiri. Kerangka teori yang digunakan dalam kajian ini adalah model stilistik oleh Leech dan Short (1993)

Menurut Leech dan Short (1993) stilistik adalah kajian gaya dari segi lingustik. Kajian gaya ini cenderung menumpukan perhatian kepada ciri linguistik, misalnya kosa kata, ayat, perenggan, dan kekerapan penggunaan kata yang secara estetika mungkin tidak penting. Dalam mengkaji gaya, mesti dipilih aspek unsur bahasa, dan prinsip pemilihan yang bergantung pada tujuan yang ada. Gaya dalam stilistik disesuaikan dengan corak penggunaan bahasa dalam teks sastera, dengan tujuan untuk menghubungkannya dengan fungsi estetika.

Leech dan Short (1993) menghuraikan bahawa suatu teks, sama ada seluruh karya atau hanya petikan, adalah bahan terbaik untuk mengkaji penggunaan bahasa tertentu. Teks adalah tempat bertolak yang paling tepat untuk memepelajari gaya. Dalam sebuah teks dapat dikaji gaya secara terperinci dengan perhatian yang lebih sistematik, mengapa suatu kata atau struktur lebih disukai daripada yang lain. Selain itu, dapat dipamerkan bahan pada muka surat, dan mengkaji hubungan antara satu pilihan bahasa dengan yang lain. Kajian diasaskan pada pengamatan dan bukti yang lebih teguh dibandingkan dengan mengambil wilayah yang lebih luas. Tentu saja lebih alamiah mengkaji suatu teks dalam hubungan apa yang dikenal sebagai wilayah sekelilingnya, pengarangnya, masa ditulis, dan lain-lain dan menganggapnya sebagai contoh mewakili sesuatu yang jadi perhatian umum. Dalam kajian ini hanya tertumpu pada bab 1, 2, dan 3 dalam kedua-dua novel kajian sahaja. Kesahihan pernyataan tentang gaya pengarang mengungkapkan unsur erotis disimpulkan berdasarkan ketiga-tiga bab dalam kedua-dua novel tersebut.

Bentuk-bentuk erotis akan diinterpretasi maknanya berdasarkan konteks cerita. Kekerapan penggunaan kata-kata atau bentuk-bentuk tertentu yang mengandungi unsur erotis akan memberi kesan tertentu pada novel tersebut. Berasaskan kekerapan akan terlihat fungsi erotis dalam karya sastera tersebut sebagai idea utama cerita atau hanya sebagai tempelan. Kerangka teori tersebut bertujuan untuk menjawab objektif kajian. Prosedur-prosedur kajian pada tahap mengenal pasti melalui beberapa proses seperti menghuraikan erotis yang terzahir dan terselubung, menginterpretasi secara jelas terhadap unsur erotis dan menjelaskan perbandingan cara pengungkapan unsur erotis dalam novel Malaysia dan Indonesia.

Fungsi leksikal erotis dalam novel Malaysia dan Indonesia yang dimaksudkan dalam kajian ini adalah untuk membuktikan bahawa unsur erotis tersebut merupakan tujuan utama dan idea penting yang hendak disampaikan pengarang dalam novel atau hanya sebagai bumbu atau tempelan. Pembuktian unsur erotis sebagai idea utama atau sebagai tempelan terlihat daripada peratuasan perenggan yang menceritakan unsur erotis dalan karya sastera tersebut. Penerokaan tidak berhenti di situ sahaja. Penerokaan akan dilanjutkan pada tahap ketiga, iaitu melihat kesan unsur erotis tersebut.

Unsur erotis yang mengisi bahagian-bahagian tertentu dalam novel, akan memberi pengaruh terhadap novel itu sendiri. Pengaruh tersebut akan menimbulkan kesan tertentu. Kesan tersebut boleh baik atau boleh juga tidak baik bagi novel itu sendiri mahupun pembacanya. Unsur erotis yang berkesan baik, akan menjadikan novel tersebut sebagai novel yang penuh ilmu dan tinggi darjahnya. Hal ini akan memberi nilai positif kepada pengarang karya tersebut. Sebaliknya jika unsur erotis tersebut berkesan tidak baik maka novel yang ditulis pengarang tersebut tidak layak dikatakan sebagai novel intelektual.

Perkara yang dibincangkan dalam stilistik adalah kategori leksikal, kategori gramatikal, kategori kiasan, dan kategori konteks dan kepaduan. Secara umum dalam kategori leksikal, diteroka kosa kata yang digunakan pengarang untuk mengungkapkan unsur erotis termasuk kosa kata sederhana atau kompleks, formal atau basahan, deskriptif atau bersifat penilaian, umum atau khusus, ideomatik, dialek atau laras. Selain itu sejauh mana pengarang menggunakan asosiasi emotif dan asosiasi lain daripada kata, yang dipertentangkan dengan erti rujukannya. Kata yang merujuk takrifan dalam kamus dikenal sebagai makna literal, dan yang bertentangan dengan takrifan dalam kamus dikenal sebagai makna nonliteral. Selain itu, aspek leksikal meliputi kelas kata, seperti kata nama, kata sifat, kata kerja dan kata depan.

Kategori tatabahasa dalam stilistik menganalisis jenis ayat seperti ayat berita, pertanyaan, perintah, seruan dan ayat tanpa kata kerja. Tidak hanya memperhitungkan golongan kata utama, kategori tatabahasa memperhitungkan golongan kata yang kecil ‘kata fungsi’: preposisi, kata penghubung, ganti nama, penentu, kata bantu, kata seru. Apakah kata khusus jenis ini digunakan untuk tujuan tertentu (misalnya kata sandang pasti dan tidak pasti; ganti nama diri dan sebagainya) dalam penyenaraian peristiwa erotis yang akan diteliti. Perkara-perkara yang menarik untuk dianalisis dalam kategori tatabahasa adalah kekompleksan ayat, jenis kluasa, struktur klausa, frasa dan jenis-jenisnya. Kategori kiasan dalam stilistik merujuk kepada penggunaan bahasa yang lazim (regular) dan tak lazim (irregular). Penggunaan bahasa yang lazim adalah unsur pengulangan atau kesejajaran yang ditemui dalam sesuatu teks. Penggunaan bahasa tak lazim adalah penyimpangan dari segi makna, iaitu metafora atau penyimpangan dari struktur ayat. (Mohammad Fadzeli 2009).

Akhir sekali, stilistik meninjau kategori konteks dan kepaduan. Konteks dalam kajian stilistik berupa jawaban soalan seperti, adakah pengarang berbicara secara langsung dengan pembaca, atau melalui ucapan atau fikiran beberapa watak cerekaan. Sikap yang bagaimana yang diimplikasikan pengarang terhadap persoalannya. Bagaimana ucapan atau fikiran watak disajikan secara langsung atau tak langsung. Kepaduan pula akan menjawab persoalan-persoalan seperti, apakah hubungan logik atau hubungan antara ayat-ayat dalam satu teks. Bagaimana rujukan silang oleh ganti nama oleh bentuk pengganti atau elipsis. Dengan kata lain, apakah itu digunakan untuk mendapatkan variasi yang baik, menghindarkan perulangan dengan menggantikan frasa deskriptif. Kajian ini bertumpu pada ketegori leksikal. Perkara ini disebabkan kerana erotis berpusatkan pada kata-kata. Oleh itu wajar kajian erotis tertumpu pada kategori leksikal agar dapat dikenal bentuk erotis yang lazim dalam novel Malaysia dan Indonesia dan maknanya berdasarkan cerita yang dipersembahkan pengarang. Selain itu, kategori leksikal berkaitan dengan gaya sebagai pilihan. Pembahasan ini masih berlanjut......

Tidak ada komentar: